Pantang Larang yang berkaitan dengan Semangat Padi Semangat_Padi

Bagi mengelakkan semangat padi merajuk, perbuatan yang boleh mengejutkan semangat padi perlu dihindari di kawasan sawah. Dengan itu perbuatan yang boleh mengejutkan semangat padi adalah pantang di kawasan sawah. Di bawah menunjukkan beberapa contoh pantang larang yang tujuan perlaksanaannya adalah demi kesukaan semangat padi:

  1. Pantang menyeberangkan mayat di kawasan sawah.
  2. Pantang melakukan perbuatan keji di kawasan sawah.
  3. Pantang menggunakan sabit semasa menuai padi.
  4. Pantang membuat bising di kawasan sawah.

Kononnya semangat padi akan terkejut dengan mayat. Akibatnya hasil padi berkurang atau tidak menjadi langsung. Bagi mengelakkan apa-apa bencana daripada keadaan ini, mayat dielakan diusung melalui kawasan sawah. Sekiranya ia tidak dapat dielakan, upacara “pemulihan tanah dan tempat dilalui” perlu dilakukan bagi memulihkan semangat padi. Dengan itu keluarga si mati dikenakan “wang pengeras”.

Semangat padi boleh lari ke tempat lain sekiraannya perbuatan keji dilakukan di kawasan sawah. Akibatnya padi menjadi lemah dan terdedah kepada serangan penyakit. Pantang larang ini memenuhi salah satu pola umum dalam alam pemikiran primitif iaitu kepercayaan masyarakat primitif terhadap alam semula jadi sebagai sesuatu yang bersifat peribadi dari segi alam semester itu menekankan keteraturan sosial dan turut memeliharanya. Ini bermaksud alam semula jadi boleh bereaksi ke atas perlakuan moral dalam masyarakat.Kejadian lari semangat yang disebabkan perbuatan keji di kawasan sawah merupakan satu contoh alam semula jadi mencampuri hal-ehwal moral manusia.

Bagi memulihkan semangat padi yang hilang atas sebab perbuatan keji, upacara “bersemah” perlu dilakukan. Upacara bersemah ini bermaksud untuk memanggil balik semangat padi.

Pantang menggunakan sabit semasa menuai padi berasaskan kepercayaan bahawa semangat padi perlu dilayan dengan lemah-lembut. Alat penuai adalah yang paling elok kerana cara ini tidak “menyakitkan” semangat padi.

Buat bising di kawasan sawah juga pantang, terutamanya semasa upacara-upacara dijalankan. Ini adalah kerana semangat padi dipecayai takut kepada bunyi bising.